top of page

5 Tip Untuk Membina Perniagaan Online Yang Berjaya


Pikat perhatian pelanggan untuk mengalami ‘cinta pandang pertama’ apabila mereka melangkah masuk ke laman web anda. (Photo by Aden Ardenrich)


Sejak kebelangkan ini, ramai usahawan yang memilih untuk menceburi perniagaan online. Ketumbuhan pesat perniagaan internet dan perkembangan exponen ‘mobile shopping’ telah memberi laluan yang baik untuk menjadikan perniagaan online satu peluang bisnes yang menguntungkan.


Di antara sebab mengapa ramai yang memilih menjadi seorang usahawan ialah keinginan untuk hidup berdikari, mengumpul aset, menabung sebagai jaminan masa hadapan dan mencari kehidupan yang lebih seimbang atau ‘work-life balance.’


Jika anda di antara yang berazam melangkah tahun baru 2020 dengan memulakan perniagaan online, berikut adalah lima tips untuk menjadikan bisnes anda lebih berjaya.


Tip #1. Membangunkan laman web yang menarik

Laman web anda berfungsi sebagai ‘digital showcase’ atau wadah digital yang akan menarik perhatian pelanggan anda. Ibarat pepatah Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’. Pikat perhatian pelanggan untuk mengalami ‘cinta pandang pertama’ apabila mereka melangkah masuk ke laman web anda. Bangunkan laman web dengan memuat naik imej produk yang menarik dan informasi yang senang difaham dan padat. 


Pastikan produk anda teratur dan kemas. Tawarkan unsur pembelian mudah melalui kad kredit, PayPal atau cara e-pembayaran yang lain. Lelaman yang senang dikemudi akan mendorong para pelanggan untuk membuat keputusan dengan cepat dan senang. 


Selain dari itu, umpan pelanggan untuk terus melungsuri produk di web anda dengan menonjolkan bukti populariti produk anda melalui testimoni pelanggan. Paparkan jumlah produk yang dijual dan pelanggan yang melawat lelaman web anda sejak ia ditubuhkan. Satu aspek penting yang perlu diingati adalah, dengan trend peningkatan pelanggan yang mengakses lelaman web melalui peranti mudah alih, pastikan tapak web dapat diakses secara optimum.


Tip #2. Berusaha untuk memperoleh dan menyimpan data pelanggan dengan baik

Data pelanggan adalah aset yang paling penting bagi seseorang usahawan perniagaan online. Sebaik saja pelanggan melungsuri tapak web anda, ambil kesempatan untuk menggalak mereka memberi data peribadi melalui kaedah langganan atau ‘subscribe’. Untuk menjadikan ia lebih menarik, anda boleh tawarkan kupon diskaun pertama jika mereka memberi data yang lengkap. Pastikan anda menyimpan data pelanggan ini dengan baik dengan mengunakan pangkalan data yang selamat. 


Bina hubungan dengan pelanggan melalui emel atau online chatbox. Ia bertujuan untuk mengumpul maklum balas tentang produk yang dilanggan, dan cadangan produk  yang mereka ingin anda tawarkan. Malah, maklum balas juga boleh bertindak sebagai sumber berpotensi ‘kecerdasan pelanggan’ agar anda memahami mengapa sesuatu produk itu lebih popular berbanding yang lain. 


Tip #3. Pilih strategi saluran pemasaran pelbagai (multi-channel marketing)

Saluran pemasaran pelbagai membolehkan anda menarik perhatian sasaran audiens yang lebih besar. Ia dapat membantu anda menganalisis wadah atau ‘platform’ pemasaran yang membawa jumlah pelanggan yang paling banyak dan menguntungkan. Tujukan pemasaran anda di media tradisional atau media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook, bahkan diemel juga. Pemasaran ‘multichannel’ membolehkan anda memahami kesan kempen anda serta menjejaki maklum balas pelanggan. Kaji laporan ringkasan liputan media melalui agensi media anda dan analisis dari tapak web, blog dan platform media sosial untuk membantu anda fokuskan tenaga pemasaran ke saluran yang lebih berkesan.


Tip #4. ‘Think local, go global

Ekonomi global tanpa batasan (seamless global economy) telah memberi peluang kepada banyak jenama untuk mencapai pasaran pelanggan global yang lebih luas. Meneroka peluang perniagaan di luar sempadan negara sendiri agak menguntungkan. Ia bukan sahaja dapat mengembangkan jenama perniagaan anda bahkan meningkatkan pendapatan dari pelbagai pasaran antarabangsa. Jika jenama pelakon terkenal Malaysia, Naelofar, boleh berjaya berkembang hingga ke pasaran Eropah, tentu jenama anda juga berpeluang dikenali di pasaran global satu masa nanti. Yang anda perlu adalah sifat berani mencuba. 


Tip #5. Istiqamah dan cepat bangkit apabila kecundang.

Tidak semua perniagaan akan meraih kejayaan pada kali pertama percubaan. Kita mungkin menghadapi situasi di mana kita mendapat tindak balas yang agak lemau atau sambutan yang kurang baik. Berikan perniagaan anda masa untuk dikenali dan dipercayai pelanggan. Namun, jika idea perniagaan pertama anda gagal bak ‘hancur dipukul badai’,  berazam untuk bangkit semula. Mentor saya sendiri seseorang usahawan yang gagal sebanyak 13 kali sebelum dia berjaya dan dihormati di dunia perniagaan. Yang penting, tanamkan sifat istiqamah dalam mengejar impian dan mempunyai jiwa yang kental untuk terus berjaya.


(This article was first published on Marketing in Asia on 13 December 2019)

58 views0 comments
bottom of page